Aku janji nak sambung pengalaman di Mina kan? Aku ambil masa nak publish sini. Ada masa sempat tulis. Ada masa tak. Jadi aku buat sikit-sikit. Tulis sikit-sikit, lama - lama jadi bukit...
Di Mina, jemaah haji menetap lama sikit dalam khemah kat sini, berbanding di Mudzalifah.
Mungkin pada tahun lepas, Allah nak bagi ujian bagi compartment (khemah aku & kekanda roommate. khemah org lain ok) kami ni lebih sikit. Penghawa dingin kami tak sejuk. Panas. Tapi tidaklah sepanas dan sebahang udara di luar. Bila dah panas, kene kerap minum air. Mungkin sebab nilah kot, bekalan air di khemah kami pula selalu tak cukup. Ye lah, berbotol-botol air kami guna untuk minum dan untuk basahkan baju dan tuala. Tudung yang asalnya kat kepala pun, kami basahkan sekali. Kekanda-kekanda yang lebih berumur, dah tak larat nak menapak jauh. Beberapa hajjah dah tumbang. Pergi melontar pun terpaksa menggunakan khidmat wakil......
Jadi kami yang masih muda dan gagah, offer diri 'scouting' cari air. Kami merantau dan menjelajah ke maktab lain amik air sejuk bawak balik ke khemah, edar-edarkan pada ahli-ahli memerlukan...Saat ni, Allah je lah tahu betapa nikmatnya air sejuk....memang macam unta haus kami minum! Air kosong je pun. Subhanallah sedapnya memang tak tergambar dengan kata-kata.... Sebahagian kami isi dalam botol spray untuk basahkan muka dan untuk lembapkan badan...Nikmatnyeeee Allah je tahu. Sampai sujud syukur! Itulah antara yang dapat kami lakukan. Nak mandi, kene beratur panjang dibawah mentari...
Banyak nau cerita aku masa haji ni kan? Orang pergi semua ok. Tapi bila aku pergi, macam- macam cerita....Kalau nak cerita bab kenangan ni, terlalu banyak. Tak dapat nak lupakan...
Antaranya :
1. Tak dapat makan nasi. Sebutir pun aku tak lalu. Walhal, nasik la makanan yang paling aku suka. Tapi sampai sini, selera aku berubah 180 darjah. Indomie pun aku hanya boleh makan sampai 7 suap, masa baru masak, panas-panas. Masuk suapan ke-8, dah sejuk, aku terpaksa berhenti. Bimbang keluar balik.
2. Aku hanya makan buah, roti dan biskut sahaja kat Mina. Aku bagi bahagian aku pada orang. Sepanjang masa aku doa, supaya Allah bagi aku kekuatan buat ibadah kat sini, terutamanya melontar, kene berjalan kaki pergi balik sendiri. Suami aku dah siap offer diri untuk buat lontaran untuk aku, tapi kalau boleh aku nak buat sendiri...Ni haji aku. Next time, tak tahu ada rezeki lagi ke tak ke sini (walaupun aku doa supaya ada rezeki lagi kemari). Alhamdulillah, Allah makbulkan. Aku mampu buat semua sampai habis.
3. Sepanjang perjalanan melontar, ramai jemaah indonesia mengulang2 zikir beramai-ramai. Pernah sekali tu, siap nanyi lagu sepohon kayu beramai-ramai. Aku pun nyanyi sekali sampai habis hujung jalan masuk ke maktab.... semangat tu penting weiii, ...( saat - saat ni, anytime boleh tumbang )π
4. Setiap kali, aku dengar orang rebah di tepi aku, atau aku nampak orang angkat orang pengsan di depan aku....... aku doa kat Allah, kuatkan aku supaya aku boleh sempurnakan haji aku dengan baik.
5. Setiap kali berjalan melontar, aku akan simpan bekal buah pear/epal, sebotol air zamzam, setin pepsi/coca cola atau sekotak air buah dalam beg merah. Aku bukanlah peminat Pepsi. Tapi Pepsi arab, memang sedap giler di tekak aku! Entah kenapa Pepsi di Malaysia tak sama rasa macam kat sana punya. (Kat Msia, jeling pun tak. Tak teringin langsung) Macam2 bekal aku simpan kat dalam beg tu! Kalau pikir balik. Beg tu kecik je. Kalah poket doraemon!
6. Antara peristiwa mencabar bila ditawarkan 'jawatan pengurus tandas' secara tiba-tiba. Ada satu masa tu punyalah ramai sangat orang nak ke toilet sampai potong barisan menjadi amalan hajjah hajjah Msia. Ada yang marah - marah sampai nyaris nak merusuh depan toilet...Haduuhh...Awal-awal tu aku hanya nak jadi orang memerhati sahaja. Malas nak campur. Biarlah dieorang setel sendiri, boleh? Tak pun biar sahabat maktab ke datang tolong. Kita ni duk diam-diam, jaga diri sudahlah. Tapi entah macamana entah, aku kene tarik dengan sorang kakak ni, kene jadi manager barisan toilet. Aku cuba nak tolak. Aku malas nak deal dengan crowd. Tapi keadaan masa tu teruk yang amat menyebabkan aku rasa kene bantu. Aku pun stepped in, bantulah akak-akak 'pengawas tanpa gaji' ni. Dieorang bukan sahabat maktab pun, tapi membantu atas rasa tanggungjawab. Dalam keadaan ni, paham-paham je la bila kita nak menguruskan ramai manusia yang sedang tidak sabar, panas, marah-marah, bertolak-tolak, menjerit-jerit sana sini macamana. Ditambah pula dengan dengan mulut2 yang tak sedap telinga nak dengar. Tengah buat haji pun, masih bermulut longkang. Kalau ikut baran-hulk aku, nak je aku tenyeh mulutnya tu kt jamban Mina tu. Tapi mungkin Allah yang nak didik aku, barangkali. Sabar. Lepas tu, keadaan berjalan lancar dan semakin baik lepas cleaner Afrika datang (dia jadi pengawas sekali). Alhamdulillah.
7. Masa aku tak larat, suami ajak aku balik Mekah. Jadi, kami plan balik ke hotel Mekah dengan berjalan kaki sebelum habiskan lontaran terakhir. Malam tu sebelum tidur, aku berkemas. Masuk je subuh, aku solat dan ready. Aku bawak semua (barang yang dipek) pergi melontar, dan niat akan datang kembali ke Mina semula malam nanti. Aku bawak bungkusan junjung atas kepala macam mem-mem afrika kat sana. Laki aku cakap, "Eh eh orang Afrika mana ni?" .π Kami berjalan sampai dalam jam 9 pagi. Tinggal dekat 2km je lagi nak sampai hotel masa ni. Panas matahari dah terik. Aku tak larat π’. Suami aku pun cari teksi sapu. Dia try call grab. Tak dapat. Kereta tak boleh masuk kawasan tu. Sesak dengan manusia. Kami pun jalan lagi ke depan. Baru nak naik, dah kene sailang dengan orang Afrika. Pemandu tu dah deal dengan kami, tapi bila nampak ada peluang untuk buat duit, dia minta kami share ride. Aku tak nak share. Jadi kami teruskan lagi perjalanan. Tak lama lepas tu, kami dapat naik teksi sapu seorang hamba Allah dari pakistan ni sampai ke hotel. Sepanjang jalan, kami nampak orang-orang afrika berjalan beramai-ramai ke mekah dan aku assume, ke arah Masjidil Haram.
Aku cakap kt laki aku, "Bini abang yang putih ni, tak larat nak jalan lagi 2km. Tak macam mem mem afrika kat luar tu..." Tak dinafikan, memang kuatlah jemaah haji dari Afrika ni. Depa berjalan kaki di tengah panas terik di tanah arab ni, macam tak de apa-apa.
Aku puteri lilin. Caiiyyaq weh...
Sampai hotel, aku mesej kekanda-kekanda room mate, bagitahu yang aku dah sampai bilik, supaya depa tak bimbang. Semua terkejut! Hahahaa... Kekanda - kekanda kat Mina boleh lah guna tempatku, untuk tido lapang sikit dan untuk solat....Bilik semua dalam keadaan baik. Aku dan suami teruskan je dengan plan asal (tak tukar niat). Tak perlu susahkan orang, minta tolong angkat beg ke apa2, nanti kami balik sana, setelkan sendiri...Pastu aku tido. Bangun tido, aku pun melepas geram basuh dan sidai semua kain-kain sebelum semua jemaah balik esok. Aku sental semua kain sampai bersih. Lepas tu mandi dan guna toilet sepuas-puasnya. Damai dan tenang. Sunyi. Tak de orang nak ketuk2 suruh keluar. Itupun satu nikmat rupanya. π Lepas tu, kami terus pergi tawaf dan saie haji. Kami setelkan haritu jugak. Malam, kami kembali ke Mina. Sambung berjalan kaki 6-7km lagi. Sememangnya, kalau dikenang kembali, tak sangka aku sekuat tu.
Malam tu aku balik khemah, kekanda roommate dan jiran sebelah tanya, mana aku menghilang, dan macamana perjalanan aku...Ternganga semua, bila aku cakap aku berjalan sejauh 20km++ Hik hik hik hik....Balik ke Abraj yang dirindui.π....mungkin nilah hikmah pergi haji masa muda. Alhamdulillah.
8. Lepas ramai yang dah Nafar Awal, iaitu hari terakhir kami di Mina, barulah ramai terasa dapat mandi dan pergi ke toilet dengan selesa. (Aku dah setel puas-puas masa kat hotel kami) Masa tu juga, aircond kami pulih dan kami dapat merasa hembusan aircond yang sejuk dan nyaman. Ada di kalangan kami dah berpindah khemah ke khemah yang kosong (penghuni dah balik Nafar Awal). Malam terakhir disitu juga, aku dapat tidur yang lena. Penat dalam gembira. Banyak urusan haji dah setel (habis ihram). Walaupun kami berdepan dengan ujian air dan aircond, kesihatan, toilet, tapi bekalan makanan, buah dan jus buah tak pernah putus. Sepanjang perjalanan banyak sumbangan diberi. Termasuklah Indomie di pagi raya Aidil Adha. Pagi raya tu, satu khemah geli hati dengan keadaan diri sendiri....Indomie + air panas adalah hidangan pagi raya haji paling nikmat kami rasai haritu...Tiap kali pandang Indomie, teringat.....nilah makanan paling sedap jemaah haji masa raya Haji 2023.
Bersambung lagi....
(Tak tahu bila)



